Hafizah melangkah keluar dari sekolah. Waktu persekolahan baru sahaja tamat. Begitulah rutin hariannya, berpanas di bawah terik mentari saban kali pulang ke rumah. Kadang-kala, timbul juga cemburu hati terhadap anak-anak berada. Usai sekolah, mereka dijemput dengan kereta mewah yang dilengkapi sofa empuk dan pendingin hawa. Malah, mereka dibukakan pintu oleh pemandu yang berseragam kemas persis anak raja lagaknya. Atma Hafizah sering bermonolog sedih dengan keazalian hidupnya yang hanya seorang anak nelayan. Hafizah akhirnya, tiba di teratak usang bapanya, Pak Lan. Pak Lan sedang asyik membaiki sampannya. Maklumlah, itu sahaja kenderaan yang boleh diharap untuk mencari punca rezekinya. Tambahan lagi, petang ini dia akan berlayar ke laut untuk menjala ikan.“Zah, turun kejap ke bawah. Ada perkara yang ingin abah bicara sama Zah”.
“Kejap ya, abah! Zah nak letak beg”.
Sejurus kemudian, Zah turun daripada terataknya, lalu menuju ke arah Pak Lan. Hafizah hanya duduk di atas belahan batang pokok kelapa. Dingin bayu laut menerpa ke tubuhnya.
“Abah, dengar sekolah Zah sudah beri keputusan peperiksaan. Apa betul yang abah dengar ni?”
Lidah Hafizah kelu untuk berkata-kata. Hafizah teringat anak Pak Amat yang seumur dengannya dan juga satu sekolah dengannya, Razali. Razali antara anak nelayan yang menjadi kebanggaan orang kampong. Hafizah hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Sudah itu, kenapa Zah tak beritahu abah? Bagaimana keputusan kau?”
Hafizah terkial-kial menggaru pipinya yang tidak gatal.
“Zah gagal untuk tujuh subjek, dua subjek sahaja Zah lulus. Maafkan Zah, abah.”
Pak Lan hanya menggeleng-gelengkan kepalanya manakala tangannya sibuk menukul paku untuk menutup bocor sampannya.
“Apa kau nak jadi Zah? Kau nak sangat kekal jadi anak nelayan yang papa kedana ni, ya? Janganlah malas sangat Zah. Kalau abah dah tak ada, kau nak merempat ke mana? Kau sanggup menjala ikan macam abah? Abah penat, Zah. Sejak abah kecil sampai tua bangka asyik bekerja. Kau mahu jadi begitu? Kaulah harapan untuk ubah keturunan hidup kita, Zah. Walaupun kau hanya anak perempuan, aku tahu kau boleh. Ubahlah pendirian kau, Zah.”
Hafizah tiada jawapan dengan keluhan bapanya. Namun pada tubir matanya berkumpul jernihan air mata yang bakal mengalir ke pipi. Pak Lan mengusap rambut Hafizah lalu menuju ke belakang terataknya.
Angin laut bertiup dingin melalui setiap ruang tubuh Hafizah. Malah, unggas-unggas di udara gembira bermain dengan sang bayu yang bertiup sayu. Cuaca ketika itu begitu redup sekali. Hampir lima hari Pak Lan tiada di rumah. Oleh itu, Hafizah menanti bapanya di hadapan jeti yang mungkin akan pulang pada petang begini. Hafizah membawa buku sejarah bersama dengannya. Hati Hafizah mula berubah semenjak ditegur oleh Pak Lan. Sepanjang lima hari ini, dirinya sering bersengkang mata hingga waktu malam untuk menuntut ilmu. Kadang-kala Hafizah bertemu dengan Razali yang gemar belajar di pangkin berhadapan dengan terataknya. Hafizah tidak menyangka, Razali sudi berkongsi ilmu dengannya. Hafizah juga menjadikan sindiran rakan-rakan pandai terhadapnya untuk belajar bersungguh-sungguh. Pernah juga suatu hari, Mashita yang merupakan anak orang kaya dan juga pelajar terpintar di sekolah membandingkan diri Hafizah dengan dirinya yang pintar. Rasa rendah diri sering menyelubungi diri Hafizah terutamanya dengan masyarakat seperti Mashita. Hafizah duduk di tepi jeti sambil membuka buku sejarah dan menghafal isi-isi penting. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja benak Hafizah berasa celaru. Hatinya tertanya-tanya, mengapa bapanya tidak lagi pulang. Malah matahari telah dimakan kaki bukit. Itu memberi tanda malam bakal menjelma. Jiwanya bergelodak sebak dan seperti ingin menangis. Lalu Hafizah bangun dan berlari ke terataknya namun tersungkur di tengah jeti. Dahi Hafizah bengkak tetapi dia cuba bangun dengan sendiri dan melangkah perlahan ke rumahnya. Hatinya masih bertanya, ‘Abah di mana? Zah rindu abah’.
Hafizah berteleku di atas sejadah untuk menunaikan solat Isyak. Usai sahaja solat, pintu terataknya diketuk bertalu-talu. Hafizah cepat-cepat membuka pintu dan menyangka itu pasti bapanya.
“Sabar, abah. Zah nak buka ni.”
Sejurus sahaja Hafizah membuka pintu, matanya hanya kelihatan wajah Pak Amat yang berada dalam keadaan basah kuyup dan termengah-mengah. Hafizah pelik, mengapa bapanya tiada bersama sedangkan dia ke laut bersama Pak Amat.
“Pak Amat, kenapa ni? Mana abah?”
“Zah, kau sabar ya? Aduh, beratnya aku nak sampaikan berita ini pada kau, Zah.”
Perasaan Hafizah berbaur sedih. Mutiara jernih sudah terlaksana mengalir ke pipinya.
“Zah, abah kau hilang semasa laut gelora. Pak Amat tak sempat nak selamatkan dia. Puas Pak Amat cari, tak jumpa-jumpa. Kau sabar ya?”
Air mata Hafizah semakin galak mengalir tapi kini bersama esakan. Pak Amat berasa kasihan terhadap Hafizah. Sudahlah tidak ber ‘ibu’, kini tidak ber ‘bapa’ pula. Bagaimana agaknya anak gadis ini mahu meneruskan kehidupan. Walaubagaimanapun, Pak Amat telah berjanji untuk mencari bapanya.
Hafizah cuba memberi fokus di dalam kelas namun wajah ayahnya yang melayang di ruang mindanya. Dirinya semakin longlai kerana terpaksa ikat perut. Bekalan makanan yang bapanya tinggalkan untuk lima hari kelmarin semakin sedikit. Setiap kali dirinya disoal oleh guru-guru, wajah murung sebagai jawapannya. Inilah kesempatan Mashita dan rakan-rakan menyindirnya. Beginilah sindiran yang sering dihamburkan kepada Hafizah, ‘Kesian, anak yatim piatu ni. Dah tahu hidup susah, jadikan diri tu bodoh lagi. Pemalas!’ Hafizah mengeluh dengan nasib malangnya itu. Cikgu Letchumy yang menyedari dengan kesusahan Hafizah mempamerkan dirinya untuk membantu Hafizah. Malah ingin menjadikan Hafizah sebagai anak angkatnya. Begitu luhur budi Cikgu Letchumy.
“Hafizah, kamu perlu ubah sikap kamu. Lupakan ingatan kamu pada ayah kamu buat seketika. Banyak lagi rintangan yang bakal menduga diri Hafizah. Usahalah. Pasal makanan dan perbelanjaan sekolah, cikgu sanggup tanggung hingga kamu tamat sekolah. Tahun inikan ada ‘exam’ penting?”
Itulah kata-kata keramat dari seorang cikgu kepada anak didiknya, Hafizah. Lantaran itu, Hafizah kembali pada semangat untuk menuntut ilmu. Cikgu Letchumy merupakan cikgu berbangsa India yang sangat berada. Namun begitu, kehidupannya sunyi kerana tiada cahaya mata yang hadir dalam kehidupannya. Sering kali juga Cikgu Letchumy singgah ke teratak Hafizah untuk memberi bekalan makanan seperti beras dan lain-lain. Cikgu Letchumy juga turut membantunya dalam pelajaran sehingga larut malam. Razali juga turut serta dengannya untuk belajar bersama-sama. Sekarang ini, Hafizah sangat akrab dengan Cikgu Letchumy dan Razali. Sesekali, Hafizah menyedari bahawa Mashita sering memerhati hubungannya bersama Cikgu Letchumy dan Razali yang merupakan tokoh pelajar tingkatan lima.
Hafizah bersyukur kepada Tuhan kerana arwah bapanya telah dikebumikan di kampong seberang. Setelah mendengar berita tersebut, Pak Amat, Cikgu Letchumy dan suaminya serta Razali menemani Hafizah untuk melawat pusara bapanya. Hafizah bermonolog dalam hatinya, “Abah, Zah rindu abah. Abah jangan risau Zah dah boleh hidup berdikari demi abah.’
Hari peperangan, telah pun tamat. Hafizah memohon kepada illahi agar menghadiahkan keputusan yang cemerlang kepada dirinya. Meskipun dia belajar dengan bersungguh-sungguh sekadar lima bulan, Hafizah sangat berharap agar pengorbanan Cikgu Letchumy membiayainya terbalas. Cikgu Letchumy banyak memberi galakan kepadanya agar tidak jauh ketinggalan. Dia menyedari bahawa dulu dia sangat lembab dalam pelajaran. Akhirnya, dia peroleh keputusan yang sangat cemerlang. Mashita yang mengetahui hal itu, terus memohon maaf kepada Hafizah. Hafizah memaafkannya. Cikgu Letchumy berasa bangga dengan Hafizah. Dirinya sangat percaya dengan pepatah Melayu iaitu belakang parang sekalipun, kalau diasah nescaya akan tajam juga. Cikgu Letchumy berjaya mengubah kehidupan Hafizah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan