Hening sungguh pagi nirmala. Sunyi dan sepi. Hanya titisan embun pagi berdetik mencium lembah bumi. Nurin Nurisha mengucup tangan ibu dan ayahnya, sebelum berangkat ke sekolah. Satu matlamat diiring ke sekolah iaitu menuntut ilmu dan menemui kejayaan demi masa hadapan dan keluarga dicintai. Itu sahaja yang bisa membantu dirinya daripada jatuh terjunam saat terkapai-kapai dalam kegelapan. Dia mengayuh basikal dengan perlahan sambil berzikir di dalam hati agar selamat sepanjang perjalanan. Beberapa minit kemudian, dia membelokkan basikal ke arah kanan menuju ke rumah Devi Catherina. Terang-benderang halaman rumah Devi. Namun, tiada siapa yang berada di situ. Oleh yang demikian, Nurin melaungkan nama Devi.
“Devi, ouh Devi!” tiada sahutan.
Muncul kegelisahan dalam sanubari Nurin Nurisha. Mungkin Devi telah ke sekolah. Nurin bersedia untuk mengayuh basikal.
“Hei, Nurin! Tunggulah aku. Maaf, lambat.”
Devi memanjangkan lehernnya. Penampilan Devi begitu kemas. Rambutnya yang panjang, ditocang dua. Baju seragamnya juga, diseterika dengan rapi. Kulitnya, tidak begitu hitam. Wajahnya ada sedikit seperti heroin Hindustan. Nurin tersenyum kecil
“Tidak mengapa”.
Devi menuntun basikalnya sehingga ke luar halaman rumahnya. Nurin telah mengayuh ke hadapan. Devi mengiringinya dari belakang. Kini, Devi telah berada di sebelah Nurin.
“Nurin, boleh aku tahu mengapa kau bertudung?”
Nurin terkejut dengan pertanyaan Devi. Namun begitu, Nurin menjawab soalan tersebut dengan tenang.
“Itu adalah simbol bahawa aku ini perempuan muslim. Berdasarkan agamaku, adalah diwajibkan untuk bertudung.”
Lidah Devi kelu untuk berkata-kata. Sejenak cuma, Devi berbicara lagi.
“Arisha kan muslim? Mengapa dia tidak bertudung?”
Kini, giliran Nurin pula yang kaku. Apa yang harus dia balas berdasarkan pertanyaan tersebut? Apa dia patut menyatakan bahawa Arisha tiada didikan agama dan jahil terhadap hal-hal islamiah. Islam sangat melarang terhadap umatnya untuk menuduh tanpa siasat. Nurin terus mengayuh basikal tanpa memberi maklum balas buat Devi.
“Nurin. Kenapa kau diam seperti penyu? Apa salah soalanku?”
Devi tidak berputus asa untuk mengetahui. Akhirnya, Nurin menjawab juga.
“Mungkin dia belum bersedia untuk memakai tudung, Devi.”
Devi kemudiannya, menganggukkan kepalanya. Hati Nurin berasa lega kerana Devi sudah berhenti untuk bertanya. Hampir sepuluh minit mereka mengayuh, tiba juga di sekolah. Nurin dan Devi menuntun basikal dan memarkir di bangsal basikal. Seperti kebiasaan, Arisha pasti menunggu Nurin di bangsal untuk meminjam buku yang mempunyai kerja rumah. Kadang-kala, Nurin kurang enak dengan sikap Arisya yang gemar meminjam buku itu. Namun disebabkan Arisya itu teman baiknya, Nurin akur dengan permintaan Arisya.
“Nurin, kau sudah siap ‘Add Maths’? Apa boleh aku meminjam bukumu?”
Nurin Nurisha menggoyang-goyangkan kepalanya, kemudian memberi buku latihan yang mempunyai lambang sekolahnya.
“Aku akan pulangkan selepas perhimpunan. Usah kau risau, Nurin.”
Arisya kemudian berlari anak ke arah pondok bacaan. Devi yang melihat fiil Arisha sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.
“Kau terlalu baik, Nurin. Jangan sampai temanmu itu nanti menginjak kepala kamu, Nurin.”
Nurin diam seribu bahasa dan membiarkan kata-kata Devi tergantung tanpa jawapan. Kemudian dia membuka langkah ke pentas perhimpunan. Dia perlu bersedia untuk mengacarakan majlis perhimpunan. Perasaan gentar menyelubungi diri Nurin. Oleh sebab, tanggungjawab yang telah diberi oleh para guru, dia perlu laksanakan sebaik mungkin. Bukan sahaja dapat menyenangkan guru, malah menjaga nama baik lembaga pengawas sekolah. Apabila tiba giliran guru penyelaras tingkatan lima untuk menyampaikan taklimat tentang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), timbul keresahan dalam hati Nurin. Moga-moga segala keringatnya selama ini mencukupi untuk berada di dewan peperiksaan kelak.
Nurin begitu asyik menjawab segala latihan yang diberi oleh Puan Choo. Soalan-soalan Matematik Tambahan begitu mencabar minda. Namun begitu, subjek ini paling menghiburkan buat Nurin Nurisha.
“Dania Arisya dan Nurin Nurisha, sila ke hadapan.”
Panggilan Puan Choo itu, menggerunkan diri Arisya dan Nurin. Puan Choo merupakan guru Matematik Tambahan kelas mereka. Dia seorang yang tegas. Lantas dua pelajar perempuan itu bergerak ke hadapan.
“Yes, teacher.”
Nurin berbahasa Inggeris. Arisya hanya mengangkat bulu keningnya.
“Lihat ini. Siapa tiru siapa? Teruk sekali kamu berdua.”
Puan Choo membandingkan buku Nurin dengan Arisya. Nurin tidak menyangka hal seperti itu akan berlaku. Nurin mulai berasa kecewa dengan Arisya.
“Kamu berdua mesti didenda.”
Arisya mempamerkan reaksi tidak selesa dengan kenyataan Puan Choo. Mereka berdua perlu menyalin semula ayat yang diberi oleh Puan Choo iaitu, ‘Saya tidak akan memberi tiru dan meniru kerja rumah sahabat’ sebanyak seribu kali. Nurin berasa kesal di atas dugaan yang ditimpanya.
“Nurin, maafkan aku. Aku tidak patut susahkan kau.”
Begitu mudah Arisya mengucapkan kata maghfirat pada Nurin. Perasaan marah Nurin membuak-buak. Walaubagaimanapun, dia berjaya mengawal emosi tersebut. Dia hanya melangkah menuju ke bangsal basikal. Arisya terus mengejarnya dari belakang. Air mata Arisya sudah mula bercucuran di atas pipinya. Esakan juga telah mula terlaksana dalam tangisannya. Hati Nurin berasa cair dengan tangisan tersebut.
“Cukuplah, Arisya. Usah kau menangis lagi. Biarlah hal itu berlalu. Aku maafkan kau. Jangan kau ulangi perkara ini. Kau perlu berdiri di atas kakimu sendiri, jika hendak berjaya. Jangan lagi kau meniru Arisya. Itu hanya merugikan kau. Jika kau ada masalah, kau bertanyalah padaku.Aku akan cuba sedaya-upaya membantu kau. Teman-teman lain juga pasti mampu menolongmu.”
Nurin berucap seperti pendakwah. Arisya mengangguk-anggukkan kepalanya. Lantas mendakap erat tubuh Nurin.
“Hatimu sungguh mulia, Nurin. Ibu bapaku tidak pernah menasihatiku seperti itu. Mereka dengan dunia mereka, Nurin. Aku bagai melukut di tepi gantang. Aku dipinggirkan. Terima kasih, Nurin.”
Nurin berasa sebak dengan luahan hati temannya itu. Nurin bermonolog di dalam hati, ‘aku sahabatmu, Arisya!’
Nurin membuka buku Antologi Kerusi. Dia memilih halaman prosa tradisional yang bertajuk Sabor. Tiba-tiba, helaian kertas biru cair berterbangan. Nurin dengan segera mencapai helaian tersebut. Lantas membuka helaian yang dilipat sebanyak empat kali itu. Kemas dan bersih tulisannya
Salam Ukhuwah, saudari Nurin Nurisha.
Maaf, jika mengganggu ketenteraman saudari. Saya hanya ingin menyampaikan hasrat murni saya sahaja. Saya begitu kagum dengan kelembutan saudari. Ingin sekali hati kecil ini, mengenali diri saudari. Saya tidak sempurna seperti pelajar lelaki lain. Namun, niat hati ini, ingin berteman dengan saudari. Saya telah jatuh hati pada saudari. Berilah balasan perasaan ini. Hulurkan warkah saudari pada Ronald yang berada di kelas 5 Arif.Danish Hakim.
Nurin berasa tidak senang dengan warkah tersebut. Tidak pernah walaupun sekali dia menerima surat cinta. Danish Hakim. Pelajar lelaki ini berkaca mata. Kulitnya putih kemerah-merahan. Sopan-santun serta aktif dalam sukan. Danish Hakim ke sekolah dengan menunggang motosikal. Anak orang kaya lagaknya. Malah, dia sering bersongkok. Begitu suci dan sempurna penampilannya. Namun apakah daya, Nurin tiada niat untuk bercinta ketika di bangku sekolah. Itu akan mengakibatkan dirinya kecundang. Oleh itu, Nurin membiarkan warkah itu sepi, tanpa balasan. Nurin berkata di dalam hati ‘Maafkan aku, Danish.’
Minggu ini ialah peperiksaan percubaan SPM. Syukur, Nurin mendapat cemerlang untuk tujuh subjek daripada sepuluh subjek yang telah dia daftar. Nurin terus berusaha dengan gigih. Dia telah mengadakan ‘group study’. Devi Catherina, Lily Chong dan Dania Arisya sentiasa bersama untuk menganalis soalan-soalan yang berkemungkinan besar bakal muncul ketika SPM.
Nurin Nurisha melihat perkarangan rumah Devi Catherina, riuh-rendah dengan suara tangisan. Hajatnya, mahu memulangkan semula buku rujukan Sains, Devi . Acapkali, Nurin melaungkan nama Devi. Namun, suasana bising itu lebih tinggi daripada suaranya. Akhirnya, Nurin menjejakkan kakinya ke halaman rumah Devi terus memasuki rumah tersebut. Ibu Devi menangis teresak-esak. Nurin menuju ke arah Devi.
“Ayahku sudah pergi, Nurin.”
Hati Nurin tersentap dengan kata-kata Devi. Kemudian, Nurin mendakap tubuh Devi.
“Salam takziah, Devi. Kuatkan semangatmu.”
Devi mengangguk-anggukkan kepalanya. Air matanya pula terus-menerus berlinangan tanpa henti. Begitu sayu sanubari Nurin melihat keadaan tersebut. Syukur, Devi seorang yang tabah.
Kini, tibalah hari peperangan seluruh warga SPM. Nurin berdoa kepada Tuhan agar memudahkan dirinya ketika menjawab soalan nanti. Hampir tiga minggu, mereka menjalani peperiksaan tersebut. Tamat sudah alam persekolahan.
Bertemu kita bertemu, berpisah janganlah resah, seperti malam dan siang, silih berganti pergi dan datang.
Lagu nyanyian Amy Mastura bermain-main dalam benak Nurin. Saat itu, mereka bertukar-tukar nombor telefon dan email.
................................................................................................
(bersambung.... InsyaAllah)
Satu Hati (pendahuluan)
Satu Hati (Bahagian 2)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan