Salam
Kenapa kau selalu senyap sekarang? Lama betul tak sms aku? Kau ada masalah?
Sebuah sms tiba-tiba menjengah masuk ke dalam inbox. Sesaat aku terdiam memikirkannya. Terjemahan Al-Quran yang sedang dibaca, diletakkan ke tepi. Lalu telefon bimbit 3310 segera ku capai.
Salam
Tiada apapun. Biasa saja. Sibuk dengan SPM yang dah dekat agaknya.
Yalah, kalau SPM pun, takkan sampai senyap macam ini. Pelik aku tengok kau, tidak mesra macam dulu.
Alamak, macam manalah aku nak terangkan pada minah seorang ini. Ya Allah, bantulah untuk aku menyampaikannya.
Tiadalah, biasa je. Perasaan kau saja agaknya. Kau tahu aku clash?
Ada juga dengar. Tapi kau tak cakap apa-apa pun. Aku diamkan sajalah. Selalunya kau akan cerita semua masalah pada aku. Itu barulah kawan namanya.
'Memang kau kawan aku. Tapi kau perempuan. aku lelaki. Hati aku tak teanang nak luahkan perasaan pada kau.' Kata-kata itu hanya terlintas di dalam hati.
Kau tahu kenapa aku clash?
Tahu. Kau clash sebab bercouple tu haram, kan? Tapi takkanlah sampai kawan dengan aku pun jadi haram juga?
Alamak, nada dia dah lain macam.
Bukanlah macam tu. Boleh saja kita berkawan. Kalau ada masalah pelajaran, kita boleh berbincang. Kalau nak tanya pendapat, kita boleh SMS. Cuma aku tidaklah saja-saja SMS dan bergurau-gurau macam dulu lagi.
Itu sama saja macam tak berkawan. Apa-apalah. Suka hati kau. Hilanglah seorang kawan. Ok. Salam.
Fika, aku tak bermaksud macam tu.
Tiada lagi mesej yang hadir. Aku menarik nafas dalam-dalam. Aduhai macam mana ni. Berat betul rasa hati ini. Ya Allah, aku tidak mahu menyakiti hati hamba-hambaMu. Namun aku khuatir andai aku tidak mampu menjaga hatiku. Ya Allah. Engkau Maha Mengetahui bahawa kelemahanku adalah wanita. Aku tidak kuat menghadapi mereka. Berbicara dengan mereka sahaja menyebabkan hatiku berbunga-bunga. Dan aku tahu itu merupakan sebahagian daripada zina. Sedangkan hati juga boleh berzina.
"Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua terlinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinaynya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluam) hanya mengikuti atau tidak mengikuti." (Sahih Muslim, hadith 2282).
Aku malu Ya Allah. Apabila berbicara denganMu ketika solat, hatiku tidak berbunga seperti itu. Ketika berdoa kepadaMu, hatiku tidak sebahagia ketika aku berbalasan SMS dengan kekasihku daripada diriMu. Sedang Engkau telah berfirman ;
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi."(Surah Al Munafiqun 63:9)
Ampuni aku Ya Allah...
"Kenapa kau termenung sahaja Aini?" Tanya Zulhakimi.
Aku memandang kepadanya. Masih terdiam.
Zulhakimi pengerusi Badan Dakwah dan Kerohanian, BDK sekolahku. Dulu dia antara orang yang aku cukup anti. Asyik-asyik ajak orang tirin subuhlah, baca ma'thuratlah, tegur itu inilah. Ramai juga yang tak suka dengan dia sebenarnya. Tetapi sekarang dia sudah jadi antara kawan-kawan yang selalu berbual dengan aku. Dan aku pun sudah mula menjadi sepertinya. Menegur orang. Bagi tazkirah. Sampai kawan-kawan semua pun pelik melihatku. Yang anti denganku pun ada. Sedangkan memberi peringatan itu bukankah perintah Allah?
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Az-Zariyat 51:55)Dan kalau aku tak mengingatkan, nanti aku pula ynang dipertanggungjawabkan;
"Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata : "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab; "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa." (Surah Al-A'raf 7:164)Mengapa mereka sebegitu sekali memusuhiku?
Aku dah berubah. Ya. Aku memang sudah banyak berubah. Sejak dengar ceramah motivasi Kem Kecemerlangan SPM 2006 itu, aku memang betul-betul merasakan diri perlu berubah.... (bersambung)
================================================
Sumber : Majalah Sinergi Edisi 3 (ms 29-35)Karya : Akh Ahmad Umair Bin Zulkefli

Tiada ulasan:
Catat Ulasan