Penceramah itu seorang doktor perubatan biasa, namun ceramahnya penuh dengan ayat al-Quran dan hadis. Seolah-olah dia menghafal al-Quran! Yang membuatkan aku amat tertarik, dia menyatakan dengan spesifik di mana ayat al-Quran itu terletak di dalam al-Quran. Gayanya tidak ubah seperti Dr. Zakir Naik yang amat aku kagumi.
Aku amat terkesan dengan kata-katanya,
"Sekarang ni umat Islam amat jauh daripada al-Quran. Dan ini memang strategi orang kafir. Mereka menjauhkan umat Islam daripada Al-Quran. Tahu apa yang jadi pada orang-orang yang tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan?? Syaitan akan menjadi teman karibnya. Ini bukan saya yang kata, Allah yang kata. Lihat dalam surah Az-Zukhruf, surah ke-43, ayat ke-36. Kamu tolong bacakan."
Tiba-tiba menunding kepadaku.
Lalu aku membacakannya,
Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. ( Surah Az-Zukhruf, 43:36)
'Ya Allah, lama aku tak jadikan al-Quran sebagai teman. Adakah sebab itu aku banyak betul bermaksiat?' Detik hatiku.
Doktor itu menyambung,
"Sebenarnya ramai orang yang ada sekarang ini pandai ilmu agama. Ramai yang sekolah agama. Ramai yang suddah tahu halal haram. Tapi kenapa mereka masih bermaksiat? Kenapa kemungkaran masih bermaharajalela? Kerana tiada Da'i yang muncul untuk memberi peringatan, Semuanya takut bersuara. Tiada yang kemudiannya bersungguh-sungguh untuk mentarbiyah umat kita yang makin rosak. Apbila kita terus ikut hawa nafsu, dan menjadikannya Tuhan, maka Allah akan membiarkan kita sesat. Cuba kita sama-sama hayati surah Aj-Jaatsiyah, surah ke-45, ayat ke-23."
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Alah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? ( Surah Aj Jaatsiyah, 45:23 )
Entah kenapa ayat itu amat-amat menusuk ke dalam hatiku. Tiba-tiba mataku berair. Aku amat terkesima. Aku terbayang segala doasa yang dengan sesuka hati aku lakukan. Mataku, apa yang telahku lihat dengannya? Tanganku, untuk apa telah aku gunakan ia? Telingaku, apa yang telah aku dengar dengannya? Dan paling aku takuti, apakah aku akan disesatkan? Kerana bermaksiat kepadaNya dalam keadaan sedar. Sengaja memilih untuk bermaksiat? Astargfirullah! Mataku terus berair. Tanganku terus melaju mencatat ayat-ayat yang dibacakannya.
Selesai sesi ceramah, aku mendekatinya.
Doktor, tadi doktor kata, Allah akan sesatkan mereka yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Saya dah cuba menguasai diri tapi selalu juga melakukan maksiat. Adakah Allah akan menyesatkan saya?
Mataku semakin membanjir. Entah kenapa begitu lunak sekali hatiku ketika itu. Sambil memegang bahuku, dia berkata,
Akhi, orang-orang bertakwa tu bukannya orang yang tidak pernah melakukan dosa, tetapi mereka adalah orang yang melakukan dosa, segera melihat kesalahannya dan tidak mengulanginya lagi. Lihat ayat ini:
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (Surah Ali-'Imran 3;133-135)
Maksudnya, mereka ini buat dosa atau tidak? Buat bukan? Tetapi apabila tersedar, mereka beristigfar, meminta ampun daripada Allah dan tidak mengulanginya lagi.
Saya menyesal, tetapi selalu mengulanginya lagi.
Akhi, kita kena berusaha meniggalkan maksiat yang kita lakukan. Setiap kali terfikir mengenainya, beristighfarlah. Bukankah Allah berfirman dia akan menambahkan kekuatan kita apabila beristighfar? Tengok ayat ini:
Dan (dia berkata) : "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa". (Surah Hud, 11;52)
Jadi banyak-banyakkan beristighfar, insyaAllah anta akan mampu meninggalkan maksiat itu.
Aku terus menagis teresak-esak. Perasaan sedih, bahagia dan terharu bercampur-baur menjadi satu. Sedih, mengenangkan dosa yang dilakukan. Bahagia, kerana terlihat sedikit sinar di hujung laluan. Terharu, kerana masih ada manusia seperti doktor ini. Aku terus menagis tanpa menghiraukan puluhan mata yang memandang ke arahku. Di saat itu aku berazam untuk meninggalkan segala kemaksiatan yang masih ku lakukan ..... (bersambung)
============================
Sumber : Majalah Sinergi Edisi 3 (ms 29-35)
Karya : Akh Ahmad Umair Bin Zulkefli
Karya : Akh Ahmad Umair Bin Zulkefli

Tiada ulasan:
Catat Ulasan