Mataku tiba-tiba berair. Setiap kali mengenang peristiwa bersejarah itu pasti air mataku akan bergenang. Hati bertahmid memanjat kesyukuran kerana Allah memberi peluang untukku menyedari kesilapanku serta meninggalkan maksiat yang masih kulakukan.
"Kenapa kau menangis? Ada masalah? Ceritalah!" Dia kembali bertanya. Semakin pelik dengan diriku yang tiba-tiba menangis.
"Tiada apa-apalah. Aku tengah fikir sesuatu sesuatu. Susah betul hendak berubah ni kan?"
"Untuk cari redha Allah memang susah. Banyak perkara yang kita perlu tinggalkan. Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari itu jelas.
'Dihiasi syurga itu dengan perkara-perkara yang dibenci. Dan dihiasi neraka itu dengan syahwat.'
"Memang banyak perkara yang manusia suka itu adalah syahwat. Dan itulah yang kita kena cuba jauhi."
"Betul kata kau, Kimi. Terima kasih ingatkan aku."
Zulhakimi tersenyum. Wajahnya begitu menenangkan. Agaknya inilah wajah orang yang dekat dengan Allah. Bersih, bercahaya, lagi membahagiakan orang yang menatapnya. "Ya Allah, kurniakan aku wajah yang bercahaya sepertinya,' bisikku di dalam hati.
Fikiranku tiba-tiba melayang kepada peristiwa di dalam kelas tempoh hari.
.............
Aku membuka loker buku di belakang kelas. Ada sekeping nota.
Assalamu'alaikum. Lama betul tak dapat nota daripada awak. Kenapa? Lama betul menyepi. Nota terakhir saya awak tak balas pun.
Aku dan Nisa ketika itu masihmembahasakan diri dengan 'saya-awak'. Kami tidak kelihatan lebih daripada sekadar kawan biasa. Di dalam kelas tidak pernah bertegur sapa. Namun secara 'under-ground', kami sangat kerap berhubung. Aku memulakan langkah untuk mendekatinya kerana ingin memenangi hatinya.
Assalamu'alaikum, saya tuan loker atas loker awak. Nak berkawan boleh?
Itulah kali pertama aku menghantar nota kepada seorang perempuan. Jantung aku amat berdebar-debar ketika itu. Macamnak tercabut pun ada. Mulanya aku sudah hampir kecewa kerana tiada balasan pada keesokan harinya. Setiap ke loker aku berdebar-debar untuk membukanya.
'Dia dah balas belum ni?'
Tetapi sehari sebelum cuti pertengahan tahun, tiba-tiba...
Wa'alaikumussalam. Boleh sahaja. Kenapa, sebelum ini kita bukan kawankah? Maaf sebab tak balas sebelum ni. Cuti nanti kalau ada masa hantarlah e-mail. Ini e-mail saya;
si_gadis_itu@yahoo.com
Awak balik naik bas? Jalan baik-baik ya. Selamat bercuti.
~NISA~
'Dia balas!'
Tidak tergambar kegembiraan aku saat itu. Berbunga-bunga rasa hati ini. Sejak itu kami sering berbalas nota.
Akhirnya kami hanya berakhir sebagai kawan biasa. Namun hatiku tetap berbunga-bunga setiap kali mendapat nota daripadanya.
.........
Nampaknya tindakan mendiamkan diri tidak berjaya menyampaikan mesej yang jelas.
Dia tak faham apa yang aku rasa dan alami.
Wa'alaikumussalam WBT
Saya tidak balas sebab rasanya tidak perlu pun. Tidak ada apa-apa yang penting bukan? Lagipun susah nak jaga hati bila berinteraksi dengan awak. Awak pun tahu macam mana perasaan saya terhadap awak dahulu. Sejak clash tempoh hari saya sudah banyak berubah. Maaflah, saya bukan saya yang dahulu lagi. Kita masih kawan, tetapi tidaklah seperti dahulu. Kalau nak saya ajar Matematik Tambahan mungkin boleh. Tapi saya rasa lebih baik awak mintak tolong Ain. Dia lagi pandai. Bukan apa, saya rasa dia lagi layak ajar awak. Dia perempuan, awak perempuan. Saya pula lelaki. Dalam Islam, lelaki dan perempuan sepatutnya tidak berinteraksi tanpa tujuan yang jelas. Sepatutnya kita yang belajar di Sekolah Menengah AGAMA ini amat memahami situasi ini. Jadi saya harap, kalau bukan ada apa-apa hal yang penting, tidak perlu ada apa-apa hal yang penting, tidak perlulah awak hubungi saya ya. Maafkan saya andai selama ini ada tersilap kata atau tersalah bicara.
-seorang kawan-
Keesokannya dia hanya membalas dengan nota yang cukup pendek,
Ok, Saya faham. Lepas ini saya tidak akan hubungi awak lagi. Ini nota terakhir. Hilanglah seorang kawan...
~NISA~
........
Beratnya hati menghadapi segala situasi ini. Meninggalkan sesuatu yang sudah mendarah daging di dalam jiwa merupakan sesuatu yang amat perit, Umpama hati ditoreh-toreh oleh pisau belati. Memang bahaya apabila dunia diletakkan di dalam hati. Kerana itu, biarlah ia hanya di tangan agar mudah kita mengurusnya.
Teringat kata-kata Imam Ghazali:
Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resahlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat.
Ya Allah, bantulah aku untuk terus berubah mencari redhaMu. Tiada yang lebih indah daripada mendapat redhaMu. Seindah apapun kenikmatan dunia, jika Engkau tidak meredhainya, tentulah ia hanya sia-sia. Ya Allah, biarlah seluruh dunia ini membenciku, tetapi Engkau mencintaiku Ya-Allah.
Maafkan aku kawan-kawanku. Tidak pernah terniat untuk menyakiti hati kalian. Tujuanku hanya mencari redha Allah. Kalian tetap adalah kawan-kawanku yang kucintai, sebagai muslim. Semoga kalian dibimbing Allah ke jalan yang benar. Mohon doakan untuk diri ini juga.... (TAMAT)
==============================
Sumber : Majalah Sinergi Edisi 3 (ms 29-35)
Karya : Akh Ahmad Umair Bin Zulkefli
Karya : Akh Ahmad Umair Bin Zulkefli



Tiada ulasan:
Catat Ulasan